Tuesday, February 15, 2011

Edisi 2: Ar-Rahnu

Antara Kebajikan Sosial Dan Kos Operasi: Keunikan Muasassah Gadaian Islam Terengganu (MGIT) Untuk Terus Survive



Oleh:
Mohamad Shukri bin Johari
Nur Azura binti Sanusi (PhD)




Sinopsis
            Setiap perniagaan sama ada perniagaan berteraskan konvensional atau berteraskan Islam masing-masing mempunyai motif untuk mengecapi keuntungan. Keuntungan yang diperolehi akan digunakan untuk membiayai liabiliti perniagaan disamping sebagai sumber pendapatan bagi pengusaha perniagaan. Namun begitu, terdapat sedikit perbezaan antara perniagaan berteraskan konvensional dan perniagaan berteraskan Islam. Selain daripada motif untuk mengecapi keuntungan, terdapat satu lagi aspek yang penting dalam perniagaan berteraskan Islam, iaitu aspek kebajikan atau keadilan sosial.
Di dalam Edisi 1 yang lepas telah dinyatakan bahawa MGIT merupakan sebuah kedai pajak gadai Islam yang tidak mengenakan sebarang kadar faedah atau bunga (riba) dan juga upah simpan. Konsep Al-Qhardul Hassan diamalkan sepenuhnya oleh MGIT di mana penghutang tidak dikenakan sebarang caj-caj lain seperti bunga atau kadar faedah. Dengan erti kata lain, MGIT tidak mempunyai sebarang keuntungan dalam menguruskan operasi perniagaan pajak gadainya. Ini menjadikan MGIT sebuah perniagaan yang unik berbanding perniagaan atau institusi kewangan yang lain.
Justeru itu, timbul persoalan bagaimana MGIT memperolehi dana dan menampung liabiliti perniagaannya? Dan, bagaimana MGIT mahu survive sedangkan ia tidak mempunyai sebarang keuntungan dalam operasi perniagaannya? Dalam Edisi 2 ini akan mengupas kaedah yang dijalankan oleh MGIT bagi memastikan ianya mampu survive disamping memenuhi matlamat asal penubuhannya iaitu untuk membantu rakyat miskin Terengganu yang kesempitan wang bagi membuat gadaian emas tanpa dikenakan kadar faedah atau upah simpan

Prestasi Muasassah Gadaian Islam Terengganu (MGIT)
MGIT membuat pembiayaan secara purata di antara RM200,000 ke RM300,000 sehari bergantung kepada musim. Kebiasaannya jumlah pembiayaan yang tinggi akan disalurkan pada musim perayaan, musim awal persekolahan dan kemasukan ke universiti. Pada waktu biasa, pembiayaan disalurkan untuk membiayai perubatan, pebelanjaan harian, modal perniagaan dan modal bagi nelayan dan petani.
Dalam tempoh 10 tahun beroperasi bermula tahun 1992 hingga Mei 2006, bilangan pelanggan MGIT mencecah 428,387 orang dengan jumlah pembiayaan yang disalurkan sebanyak RM391,444,968. Nisbah di antara jumlah pembiayaan yang disalurkan kepada bilangan pelanggan mengalami peningkatan daripada RM773.88 bagi seorang pelanggan pada tahun 1992 kepada RM1063.72 bagi seorang pelanggan sehingga Mei 2006. Jumlah pembiayaan dan bilangan pelanggan mengalami peningkatan daripada RM9,852,988 bagi 12,732 pelanggan kepada RM19,347,370 bagi 25,842 pelanggan masing-masing bagi tahun 1992 dan 1993. Umumnya, peningkatan tersebut menggambarkan peningkatan dalam kepentingan dan sumbangan MGIT dalam menyedikan keperluan mudah tunai kepada masyarakat negeri Terengganu.
Manakala bagi nisbah diantara jumlah pembiayaan yang dibayar semula (ditebus) kepada bilangan pelanggan, menunjukkan berlaku tren yang sama seperti nisbah pembiayaan-pelanggan. Nisbah penebusan-pelanggan mengalami peningkatan daripada RM697.67 bagi seorang pelanggan kepada RM1083.17 bagi seorang pelanggan. Bagi nisbah di antara jumlah sumbangan kepada bilangan pelanggan, umumnya nisbah ini mengalami peningkatan daripada RM5.19 bagi seorang pelanggan pada tahun 1992 kepada RM7.80 bagi seorang pelanggan pada tahun 2006. Peratusan pelanggan yang tidak menebus barangan gadaian pada tahun yang sama mengalami penurunan daripada 37.14 peratus kepada -3.15 peratus. Peratusan pelanggan yang gagal menebus adalah tinggi hanya bagi tahun 1992 dan 1993.
Walaupun MGIT tidak mengenakan sebarang upah simpan, didapati peratusan bilangan pelanggan yang menghulurkan sumbangan ikhlas meningkat daripada 78.12 peratus pada tahun 1992 kepada 93 peratus sehingga Mei 2006. Umumnya, peratusan pelanggan yang menyumbang adalah melebihi 70 peratus dengan purata sumbangan sekitar RM5 ke RM7 setahun bagi setiap pelanggan yang menyumbang.

Sumber Dana dan Liabiliti Bagi Memastikan MGIT Terus Survive
MGIT merupakan institusi pajak gadai Islam yang mendaftar di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan tertakluk di bawah Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 dengan pengecualian seksyen 17(1). Seksyen 17(1) menerangkan tentang kadar keuntungan yang mana seseorang pemegang lesen boleh mengambil keuntungan atas sesuatu pinjaman yang diberi atas sesuatu sandaran sebagai pajak gadai. Pengecualian seksyen 17(1) ini adalah konsisten dengan konsep al-Qhardul Hassan di mana sebarang hutang yang dibuat oleh penghutang tidak dikenakan sebarang caj-caj lain seperti bunga atau kadar faedah. Oleh itu, MGIT tidak memperolehi sebarang keuntungan daripada urusniaga pajak gadainya.
Namun begitu, MGIT memperolehi sumber kewangannya yang utama daripada Kerajaan Negeri Terengganu melalui MAIDAM dan operasinya dibiayai oleh MAIDAM sepenuhnya. Antara kos MGIT yang ditanggung oleh MAIDAM adalah gaji, elaun dan upah pekerja, insurans, keselamatan, penyelenggaraan dan pembaikan, sewa, bekalan dan perbelanjaan utiliti.
Pada peringkat awal penubuhan MGIT, modal awal perniagaan disalurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu sebanyak RM 1 juta setahun sehingga tahun 1999. Bermula tahun 2000 hingga kini, modal perniagaan disediakan oleh MGIT berdasarkan kepada operasi gadaian dan tebusan pelanggan.
Perlaksanaan konsep al-Qhard dan Hassan bermaksud pelanggan hanya perlu membayar semula pembiayaan sebanyak jumlah pinjaman yang disalurkan. Tiada sebarang caj upah simpan dikenakan kepada pelanggan, sebaliknya pelanggan digalakkan menyumbang untuk membantu meningkatkan keupayaan penjanaan modal MGIT. Sumbangan yang disalurkan bergantung kepada kemampuan dan kesanggupan pelanggan. Konsep ini merupakan konsep ‘Hassan’. Wang hasil sumbangan para pelanggan boleh digunakan untuk kepentingan pentadbiran MGIT dengan kelulusan Jawatankuasa MGIT.
Walau pun MGIT tidak memperolehi keuntungan dari operasi pajak gadainya, namun keupayaan institusi kewangan yang bukan bank ini mempertahankan survivalnya menjadikan MGIT sebuah kedai pajak gadai Islam yang agak unik. Ini ditambah lagi dengan peningkatan prestasi MGIT meningkatkan urusniaganya dari masa ke semasa sehingga MGIT menjadi pesaing yang kuat dengan kedai pajak gadai konvensional. Dalam Edisi 3 akan datang pula mengupas perbezaan yang ketara antara pajak gadai Islam (MGIT) dengan pajak gadai konvensional. Dalam edisi tersebut memberi jawapan kenapa tren masyarakat beralih dari menggunakan kedai pajak gadai konvensional kepada kepada pajak gadai Islam.

Thursday, February 10, 2011

Edisi 1: Ar-Rahnu

Muasassah Gadaian Islam Terengganu (MGIT) Perintis Sistem Ar-Rahnu Di Malaysia.
 
Oleh:
Mohamad Shukri Johari
Nur Azura Sanusi (PhD)




Sinopsis
Masih kurang yang mengetahui bahawa Muasassah Gadaian Islam Terengganu (MGIT) merupakan perintis kepada pengenalan sistem ar-rahnu di Malaysia. Malah masih ramai masyarakat Malaysia amnya dan masyarakat Terengganu khasnya tidak mengetahui erti atau maksud ar-rahnu walaupun mereka beragama Islam.
Ringkasnya, ar-rahnu merupakan sistem pajak gadai Islam yang mengamalkan penghapusan riba (bunga) dan unsur-unsur gharar seperti nilaian yang rendah bagi harga gadaian, melelong hak pelanggan tanpa memberitahu pemilik dan lebihan wang dari gadaian tidak dipulangkan. Aspek lain yang ditekankan dalam sistem gadaian Islam ini juga meliputi soal kebajikan atau keadilan sosial kepada pengguna perniagaan pajak gadai.
Justeru itu, Edisi 1 ini akan membuka sedikit ruang kepada pembaca untuk mengetahui sejarah perkembangan perniagaan pajak gadai di negara ini khususnya perniagaan pajak gadai Islam (ar-rahnu).

Perkembangan Perniagaan Pajak Gadai di Malaysia
Sejarah perniagaan pajak gadai bermula sejak abad yang ke 15 lagi dan telah diperkenalkan oleh pedagang-pedagang Cina pada zaman Kesultanan Melaka. Pada peringkat permulaannya, perniagaan ini tidak tertakluk kepada undang-undang tertentu. Walau bagaimanapun, sistem pajak gadai berlesen mula diperkenalkan dengan pemwartaan Ordinan Pajak Gadai 1871 di zaman pemerintahan Inggeris.
Perkembangan pesat perniagaan pajak gadai telah mewujudkan Enakmen Pajak Gadai 1917 yang diperkenalkan di negeri Johor. Usaha untuk menghasilkan satu akta yang seragam telah berjaya dilakukan dengan penguatkuasaan Akta Pajak Gadai 1972 pada Jun 1973.
Peningkatan pemahaman tentang ajaran Islam telah menjurus kepada perlaksanaan syariah di sistem perbankan pada tahun 1983. Ini mendorong pelaksanaannya di institusi kewangan lain seperti insurans, unit amanah dan pajak gadai Islam (ar-rahnu). Tujuan utamanya ialah menghapuskan hasil bunga (faedah) yang dikenakan oleh pemilik pajak gadai sebagai ganjaran daripada wang tunai yang dipinjamkan. Pajak gadai Islam pertama beroperasi di Malaysia ialah Muassasah Gadaian Islam Terengganu (MGIT) yang telah ditubuhkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) pada 23 Januari 1992.

Sejarah Penubuhan MGIT di Malaysia
            Berteraskan kepada konsep Islam Hadhari Terengganu Bestari, maka kerajaan Terengganu berusaha untuk menjadikan negeri ini sebagai sebuah negeri yang mengamalkan sistem kewangan Islam yang unggul di Malaysia. Perkembangan perniagaan pajak gadai yang sebelum ini dikuasai oleh kedai pajak gadai konvensional telah mendorong kepada penubuhan sebuah kedai pajak gadai yang berteraskan konsep Al Qardhu Hassan iaitu Muasassah Gadaian Islam Terengganu (MGIT) pada 23 Januari 1992.
MGIT merupakan satu aktiviti kerajaan negeri Terengganu yang diamanahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu untuk melaksanakan perniagaan pajak gadai Islam. MGIT berperanan untuk membantu rakyat miskin Terengganu yang kesempitan wang bagi membuat gadaian emas tanpa dikenakan kadar faedah atau upah simpan. Ini menjadikan MGIT sebagai sebuah kedai pajak gadai Islam yang unik dan menjadi pesaing terbesar dikalangan kedai pajak gadai konvensional.
Secara umumnya, objektif penubuhan MGIT ialah untuk menghapuskan gejala riba atau kadar bunga yang banyak membebankan orang ramai apabila melakukan gadaian di pajak gadai konvensional. MGIT juga menyediakan kemudahan pinjaman secara mudah dan cepat (pinjaman mikro kredit) kepada orang ramai terutama kepada orang Islam untuk kegunaan memulakan dan mengembangkan perniagaan. Dengan cara ini, ianya dapat membantu mengelakkan gejala pinjaman dengan ceti haram yang melibatkan orang tertentu seperti “along”. MAIDAM dan MGIT telah bersama-sama berusaha untuk melaksanakan perniagaan yang mengikut hukum syarak dengan memberi alternatif kepada umat Islam memilih cara yang sesuai dengan kehendak agama agar taraf sosio-ekonomi masyarakat Islam di Terengganu akan meningkat.
Dua konsep asas yang digunapakai oleh MGIT ialah Ar-Rahnu dan Al-Qhardul Hassan. Ar-Rahnu merupakan konsep di mana satu barangan yang berharga digunakan sebagai cagaran atau sandaran yang terikat dengan hutang di mana sekiranya hutang si penghutang tidak dapat dijelaskan, maka barangan tersebut boleh digunakan sebagai ganti bagi melangsaikan hutang. Manakala konsep Al-Qhardul Hassan pula ialah merupakan sebarang hutang yang dibuat oleh penghutang yang tidak dikenakan sebarang caj-caj lain seperti bunga atau kadar faedah.
Sebagaimana yang dinyatakan, MGIT tidak mengenakan kadar faedah (riba atau bunga) dan upah simpan yang boleh membebankan pengguna. Dengan erti kata lain, MGIT jelas mengamalkan konsep kebajikan atau keadilan sosial. Justeru itu, persoalan yang timbul ialah bagaimana MGIT memperolehi dana dan menampung kos operasinya? Dalam Edisi 2 akan datang akan menjelaskan pertembungan antara kebajikan sosial dengan kos operasi yang terpaksa ditanggung oleh MGIT.