Thursday, February 10, 2011

Edisi 1: Ar-Rahnu

Muasassah Gadaian Islam Terengganu (MGIT) Perintis Sistem Ar-Rahnu Di Malaysia.
 
Oleh:
Mohamad Shukri Johari
Nur Azura Sanusi (PhD)




Sinopsis
Masih kurang yang mengetahui bahawa Muasassah Gadaian Islam Terengganu (MGIT) merupakan perintis kepada pengenalan sistem ar-rahnu di Malaysia. Malah masih ramai masyarakat Malaysia amnya dan masyarakat Terengganu khasnya tidak mengetahui erti atau maksud ar-rahnu walaupun mereka beragama Islam.
Ringkasnya, ar-rahnu merupakan sistem pajak gadai Islam yang mengamalkan penghapusan riba (bunga) dan unsur-unsur gharar seperti nilaian yang rendah bagi harga gadaian, melelong hak pelanggan tanpa memberitahu pemilik dan lebihan wang dari gadaian tidak dipulangkan. Aspek lain yang ditekankan dalam sistem gadaian Islam ini juga meliputi soal kebajikan atau keadilan sosial kepada pengguna perniagaan pajak gadai.
Justeru itu, Edisi 1 ini akan membuka sedikit ruang kepada pembaca untuk mengetahui sejarah perkembangan perniagaan pajak gadai di negara ini khususnya perniagaan pajak gadai Islam (ar-rahnu).

Perkembangan Perniagaan Pajak Gadai di Malaysia
Sejarah perniagaan pajak gadai bermula sejak abad yang ke 15 lagi dan telah diperkenalkan oleh pedagang-pedagang Cina pada zaman Kesultanan Melaka. Pada peringkat permulaannya, perniagaan ini tidak tertakluk kepada undang-undang tertentu. Walau bagaimanapun, sistem pajak gadai berlesen mula diperkenalkan dengan pemwartaan Ordinan Pajak Gadai 1871 di zaman pemerintahan Inggeris.
Perkembangan pesat perniagaan pajak gadai telah mewujudkan Enakmen Pajak Gadai 1917 yang diperkenalkan di negeri Johor. Usaha untuk menghasilkan satu akta yang seragam telah berjaya dilakukan dengan penguatkuasaan Akta Pajak Gadai 1972 pada Jun 1973.
Peningkatan pemahaman tentang ajaran Islam telah menjurus kepada perlaksanaan syariah di sistem perbankan pada tahun 1983. Ini mendorong pelaksanaannya di institusi kewangan lain seperti insurans, unit amanah dan pajak gadai Islam (ar-rahnu). Tujuan utamanya ialah menghapuskan hasil bunga (faedah) yang dikenakan oleh pemilik pajak gadai sebagai ganjaran daripada wang tunai yang dipinjamkan. Pajak gadai Islam pertama beroperasi di Malaysia ialah Muassasah Gadaian Islam Terengganu (MGIT) yang telah ditubuhkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) pada 23 Januari 1992.

Sejarah Penubuhan MGIT di Malaysia
            Berteraskan kepada konsep Islam Hadhari Terengganu Bestari, maka kerajaan Terengganu berusaha untuk menjadikan negeri ini sebagai sebuah negeri yang mengamalkan sistem kewangan Islam yang unggul di Malaysia. Perkembangan perniagaan pajak gadai yang sebelum ini dikuasai oleh kedai pajak gadai konvensional telah mendorong kepada penubuhan sebuah kedai pajak gadai yang berteraskan konsep Al Qardhu Hassan iaitu Muasassah Gadaian Islam Terengganu (MGIT) pada 23 Januari 1992.
MGIT merupakan satu aktiviti kerajaan negeri Terengganu yang diamanahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu untuk melaksanakan perniagaan pajak gadai Islam. MGIT berperanan untuk membantu rakyat miskin Terengganu yang kesempitan wang bagi membuat gadaian emas tanpa dikenakan kadar faedah atau upah simpan. Ini menjadikan MGIT sebagai sebuah kedai pajak gadai Islam yang unik dan menjadi pesaing terbesar dikalangan kedai pajak gadai konvensional.
Secara umumnya, objektif penubuhan MGIT ialah untuk menghapuskan gejala riba atau kadar bunga yang banyak membebankan orang ramai apabila melakukan gadaian di pajak gadai konvensional. MGIT juga menyediakan kemudahan pinjaman secara mudah dan cepat (pinjaman mikro kredit) kepada orang ramai terutama kepada orang Islam untuk kegunaan memulakan dan mengembangkan perniagaan. Dengan cara ini, ianya dapat membantu mengelakkan gejala pinjaman dengan ceti haram yang melibatkan orang tertentu seperti “along”. MAIDAM dan MGIT telah bersama-sama berusaha untuk melaksanakan perniagaan yang mengikut hukum syarak dengan memberi alternatif kepada umat Islam memilih cara yang sesuai dengan kehendak agama agar taraf sosio-ekonomi masyarakat Islam di Terengganu akan meningkat.
Dua konsep asas yang digunapakai oleh MGIT ialah Ar-Rahnu dan Al-Qhardul Hassan. Ar-Rahnu merupakan konsep di mana satu barangan yang berharga digunakan sebagai cagaran atau sandaran yang terikat dengan hutang di mana sekiranya hutang si penghutang tidak dapat dijelaskan, maka barangan tersebut boleh digunakan sebagai ganti bagi melangsaikan hutang. Manakala konsep Al-Qhardul Hassan pula ialah merupakan sebarang hutang yang dibuat oleh penghutang yang tidak dikenakan sebarang caj-caj lain seperti bunga atau kadar faedah.
Sebagaimana yang dinyatakan, MGIT tidak mengenakan kadar faedah (riba atau bunga) dan upah simpan yang boleh membebankan pengguna. Dengan erti kata lain, MGIT jelas mengamalkan konsep kebajikan atau keadilan sosial. Justeru itu, persoalan yang timbul ialah bagaimana MGIT memperolehi dana dan menampung kos operasinya? Dalam Edisi 2 akan datang akan menjelaskan pertembungan antara kebajikan sosial dengan kos operasi yang terpaksa ditanggung oleh MGIT.

No comments:

Post a Comment